JOHOR BAHRU: Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut dekat Tangkak semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata kejadian berlaku kira-kira 7.08 malam ketika mangsa Ab Karim Md Aroff, 93, bersama isteri Jibah Md Hussin, 87, berada di dalam rumah mereka.

Beliau berkata 19 anggota dan aset dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal itu telah dipadamkan oleh orang awam dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan rumah,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata isteri mangsa yang mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Rafiah berkata setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. - Bernama