SEREMBAN: Seorang suri rumah warga emas di sini kerugian RM476,100 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud melalui satu aplikasi pelaburan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 60 tahun itu mendakwa menerima pesanan Facebook daripada page tidak dikenali yang menawarkan buku pengurusan kewangan secara percuma berserta satu pautan WhatsApp pada 3 Okt lepas.

Beliau berkata mangsa menekan pautan berkenaan dan dimasukkan ke kumpulan WhatsApp atas nama ‘perbincangan keluarga’ sebelum diminta memuat naik aplikasi ‘forza’ bagi membuka akaun simpanan serta dijanjikan mendapat faedah daripada simpanan itu.

“Melalui aplikasi itu, mangsa perlu memasukkan wang ke nombor akaun bank yang diberikan pentadbir kumpulan WhatsApp itu dan memuat naik slip pembayaran ke dalam aplikasi tersebut.

“Wanita itu kemudian membuat simpanan dalam aplikasi itu melalui 17 transaksi ke dua akaun bank atas nama syarikat berbeza menggunakan simpanan sendiri, anak serta pinjaman daripada rakannya sejak 1 Nov hingga 17 Nov lepas dengan keseluruhan berjumlah RM476,100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata mangsa kemudian mendapati akaun aplikasi forza miliknya itu disekat apabila mahu mengeluarkan wang faedah.

Beliau berkata mangsa yang menyedari telah ditipu, kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama