PUTRAJAYA: Polemik lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang dibangkitkan sesetengah pihak lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar, kata Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Selasa.

Isu itu telah dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu dan tindakan sedemikian jelas tidak adil kepada Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia serta kepada Kementerian Luar dan Kerajaan Arab Saudi.

Delegasi Malaysia diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan kawalan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).

“Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri. Kemudahan-kemudahan itu juga turut disediakan semasa ziarah di Madinah Al-Munawwarah,“ kata Wisma Putra.

Semasa berada di negara itu delegasi Malaysia menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, delegasi Malaysia menjelaskan secara baik bahawa permintaan itu tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.

“Ini termasuk Majlis Iftar bersama Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac 2023 dan Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023,“ katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, persiapan-persiapan awal bagi lawatan berkenaan meliputi beberapa siri perbincangan antara Wisma Putra dan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur dan perbincangan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga bertemu dengan Menteri Luar Arab Saudi semasa lawatannya ke Riyadh pada 19 hingga 22 Feb 2023 yang antara lain membincangkan secara spesifik tentang lawatan Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh-tarikh serta perancangan hasil-hasil lawatan.

Cadangan tarikh awal untuk lawatan diadakan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan juga tidak menjadi isu di pihak Arab Saudi yang pernah menerima lawatan pemimpin-pemimpin asing dalam bulan Ramadan.

Wisma Putra juga menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur bertarikh 21 Mac 2023 yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi dan nota yang sama turut diterima Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua Nota Diplomatik itu merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri pada 22 – 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri Arab Saudi.

“Kedua-dua Nota Diplomatik itu jelas menyatakan kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan itu termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al-Munawwarah,“ katanya dan menambah bahawa Nota Diplomatik adalah antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan.

Wisma Putra berkata lawatan Anwar mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif.

“Malaysia sentiasa menganggap Kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik,“ kata kenyataan itu lagi.

Kementerian itu menegaskan bahawa polemik serta tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usahanya memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa.

Antara perkara yang dibangkitkan segelintir pihak termasuk daripada parti-parti pembangkang berhubung lawatan berkenaan termasuk isu Perdana Menteri disambut oleh gabenor Jeddah sahaja, tidak dibawa masuk ke dalam Kaabah dan tiada pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed Salman. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image