KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar kepada golongan berkemampuan tidak akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelan futuristik yang sedang disusun atur Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Ahmad Zahid juga memberikan jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk manfaatkan rakyat miskin.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak menggunakan jalinan pintar (smart partnership) untuk pembinaannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) sama ada kerajaan akan menggunakan tanah Mara yang dikhususkan kepada rakyat miskin dan B40 bagi persekolahan anak-anak untuk golongan T20 dan M40. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image