KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa, beliau mendahulukan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sebanyak RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerana pemain dan kakitangan persatuan itu tidak mendapat gaji dan elaun selama empat bulan.

Ahmad Zahid, 69, berkata beliau sebelum ini tidak pernah memberi apa-apa sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak PDRM, bagaimanapun sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, PDRM berada di bawah kendaliannya.

“Saya telah dimaklumkan oleh menantu saya Datuk Zul Hisham Zainal bahawa, persatuan bola sepak itu berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan kewangan, memandangkan empat bulan gaji mereka tidak dibayar menyebabkan pemain dan staf tidak berkemampuan untuk membayar perbelanjaan peribadi, seperti membayar sewa rumah, kereta, nafkah dan keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi, semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata wang pendahuluan tersebut adalah seiring dengan objektif penubuhan YAB, yang mana ia ditubuhkan untuk membantu daripada segi kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau menegaskan pertuduhan kesembilan yang dikenakan ke atasnya iaitu melakukan pecah amanah berhubung sumbangan RM1.3 juta kepada persatuan itu, bukan satu kesalahan pecah amanah kerana pemegang amanah YAB, Muhammad Nabil Salleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi, tidak pernah membantah wang pendahuluan yang diberikan.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan keterangan Zul Hisham dan ASP Mohd Nizam Mohd Noor, persatuan itu mempunyai tanggungan seramai 30 pemain tempatan, termasuk tiga pemain import dan juga 15 orang dalam kumpulan pengurusan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pemain-pemain persatuan itu adalah pemain sepenuh masa, yang mana mereka bergantung sepenuhnya kepada gaji yang diberikan sebagai pemain bola sepak.

“Gaji kesemua pemain dan staf secara purata dalam anggaran RM500,000 sehingga RM600,000 sebulan dan semasa persatuan itu mempunyai masalah kewangan, bayaran gaji yang tertunggak adalah dalam anggaran RM1.3 juta selama empat bulan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Majlis Sukan Negara telah membayar semula pendahuluan yang beliau berikan sebanyak RM1 juta kepada Tetuan Lewis & Co pada 14 Julai 2017 dengan menggunakan cek.

Selain itu, Ahmad Zahid menafikan pertuduhan ke-19 yang mana beliau didakwa melakukan pecah amanah dana YAB berjumlah RM10 juta, dengan memberikan pinjaman wang tersebut kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Katanya, bayaran kepada Armada Holdings berjumlah RM10 juta adalah satu pelaburan kepada syarikat tersebut, yang terlibat dengan projek pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

“Setakat pengetahuan saya, sepertimana yang dipersetujui, RM10 juta itu diberikan kepada Armada Holdings sebagai satu pelaburan yang dibuat oleh Yayasan Akalbudi, dan bukan pinjaman.

“Pulangan pelaburan yang diterima itu juga, telah berjaya mendatangkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi yang mana keuntungan tersebut boleh digunakan untuk tujuan amal jariah, selari dengan objektif yayasan tersebut,” katanya dan menambah pelaburan RM10 juta kepada Armada Holdings telah dibayar balik bersama-sama dengan faedah sebanyak RM69,722.65.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menafikan bahawa pemberian dana YAB sebanyak RM360,000 kepada TS Consultancy & Resources, adalah untuk membantu menjalankan kerja-kerja pendaftaran pengundi, sebaliknya wang tersebut adalah untuk pembayaran percetakan Al-Quran.

“Urusan ini adalah antara saya dengan Datuk Latiff Mirasa iaitu Pengerusi kepada Yayasan Restu yang mencetak Al-Quran tersebut. Saya juga menyatakan bahawa urusan ini sama sekali tidak diketahui oleh TS Consultancy & Resources, kerana Datuk Latiff yang meminta saya untuk membuat pembayaran percetakan Al-Quran tersebut yang dibayar kepada syarikat itu,” katanya.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama