KUALA LUMPUR: Umno mencadangkan supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal dan sehingga pekerja dan pengguna.

Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor ini kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

“Tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah anak muda.

“Justeru, jangan kita mengetepikan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multibilion, sehingga mencecah RM52.4 bilion pada tahun 2020 sahaja, malah dijangka berkembang pada kadar 23 peratus setiap tahun,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2023 di sini, pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata penubuhan SEGiM akan memberi sinar baharu kepada peserta ekonomi gig serta pengusaha Grab, LalaMove, Food Panda dan lain-lain.

“Ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ini ke luar negara,” katanya.

Umno turut menggesa kerajaan supaya dapat menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita juga mahu agar pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan (Lebuhraya) Pan Borneo, untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual, supaya kemudahan ini menjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan kecil,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image