SEARCH

Dasar pembangunan bandar raya perlu rangka strategi daya tahan- Agong

23 Mar 2021 / 12:01 H.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah amalan dan dasar pembangunan bandar raya di seluruh negara perlu merangkumi strategi baharu dengan menitikberatkan elemen kesiagaan serta daya tahan.

Titah Seri Paduka, langkah itu perlu dalam menghadapi sebarang kejutan pada masa hadapan sama ada bencana alam mahu pun krisis ekonomi serta pandemik.

“Justeru, bandar raya di Malaysia hendaklah mempunyai daya ketahanan ataupun resilience yang tinggi bagi menghadapi apa jua kemungkinan,“ titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 di Istana Negara, hari ini.

Bagi mencapai maksud tersebut, Yang di-Pertuan Agong bertitah adalah wajar kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti persekitaran, menggubal strategi pengurusan kepadatan penduduk yang mampan dan menitik berat pengurusan perbandaran dinamik menerusi integrasi antara semua agensi.

Titah Al-Sultan Abdullah, penggunaan teknologi pintar turut berupaya memberi kesinambungan kepada infrastruktur kritikal semasa berhadapan bencana dan krisis.

Seri Paduka bertitah bandar raya di seluruh dunia juga telah mempelajari akan risiko penularan virus dalam ruangan tertutup dan sempit.

Justeru, titah baginda, pejabat dan bangunan pada masa hadapan perlu direka cipta dengan menerapkan elemen cara hidup yang lebih selamat, kondusif dan praktikal.

“Natijahnya, setiap krisis yang dihadapi akan berupaya melemahkan daya tahan ekonomi dan fabrik sosial sebuah bandar raya.

“Justeru, negara memerlukan perubahan dan pendekatan yang realistik serta proaktif bagi menangani impak yang sedang dihadapi dan juga persediaan untuk hari-hari mendatang,“ titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut menyambut baik usaha kerajaan merangka pelan struktur baharu bagi bandar raya Kuala Lumpur dengan visi untuk menjadikan ibu kota itu sebagai ‘Bandar Untuk Semua’.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda mengingatkan setiap rakyat di negara ini untuk sentiasa berusaha membuat amal kebaikan sesama manusia serta berbakti kepada masyarakat dan negara dengan sepenuh keikhlasan hati.

Titah Seri Paduka sikap berbuat baik dan menabur khidmat bakti kepada negara tanpa mengharapkan pujian atau balasan duniawi adalah menjadi tuntutan setiap agama di dunia ini.

“Tanpa sikap ini, negara akan porak-peranda bukan kerana angkara musuh durjana tetapi ia adalah kerana sikap kita yang asyik bertelingkah sesama kita untuk merebut tempat dan pangkat, serta gagal untuk berbakti, serta mencurahkan kesetiaan setulus hati kepada negara tanah tumpahnya darah kita,“ titah Al-Sultan Abdullah.- Bernama

email blast