KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans ditahan malam tadi bagi membantu siasatan melakukan provokasi dan mengaibkan pegawai polis dengan mempertikaikan tindakan kompaun terhadapnya di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, dua hari lepas.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara pada pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki itu dikompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 iaitu tidak memakai pelitup muka ketika berada di stesen minyak, yang merupakan tempat awam.

Lelaki yang tidak berpuas hati kerana dikompaun itu melakukan provokasi dan membuat rakaman video kejadian berkenaan yang kemudiannya tular melalui media sosial.

“Semasa proses penahanan malam tadi, suspek turut membuat satu rakaman video secara langsung melalui laman Facebook,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan tugas dan Seksyen 504 kanun sama kerana dengan sengaja mengaibkan polis dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menularkan rakaman itu ke media sosial serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

“Polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Semalam, tular melalui Facebook video berdurasi 15 minit 42 saat menggunakan nama Alyf Malik memaparkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap seorang anggota polis ketika dikompaun kerana tidak mematuhi SOP.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis yang menjalankan tugas di lapangan dan harus mematuhi SOP Covid-19 selain tidak membuat spekulasi berhubung video yang tular itu kerana boleh mengundang pelbagai isu yang boleh menggugat ketenteraman awam.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image