SEARCH

Empat bilik asrama pelajar UUM terbakar

21 Jul 2021 / 09:30 H.

ALOR SETAR: Empat bilik asrama pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok di tingkat tiga bangunan asrama itu terlibat dalam kebakaran pagi kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.55 pagi, dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 13 minit kemudian.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi yang terletak sekitar 15 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, beberapa unit bilik asrama bangunan Kelas A didapati sedang terbakar.

“Terdapat 12 bilik keseluruhannya di blok berkenaan dan kebakaran hanya melibatkan empat bilik di tingkat tiga bangunan tersebut dan keluasan setiap sebuah bilik 24 x 18,“ katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Mohamadul Ehsan berkata kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa, dan dua bilik didapati mengalami kemusnahan sebanyak 90 peratus, manakala dua bilik lagi terbakar 70 peratus.

Beliau berkata 13 anggota bomba termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman itu yang turut dibantu petugas dari BBP Jitra, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata pelajar yang terjejas dengan kebakaran itu ditempatkan di penginapan baharu di blok berhampiran.

Beliau berkata pihaknya akan memberikan bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban pelajar yang terlibat dalam kejadian di Inapan Siswa (Inasis) Maybank itu.

Katanya UUM juga akan membantu menguruskan penggantian dokumen perjalanan yang musnah dalam kebakaran itu dan memberi sokongan kaunseling kepada mereka.

“Pihak universiti sentiasa menekankan pelbagai aspek keselamatan termasuk kawalan kebakaran di semua bangunan seluruh kampus, dan memastikan ia memenuhi piawaian terkini yang ditetapkan pihak bomba.

-Bernama

email blast