IPOH: Seramai empat individu dikenakan kompaun setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa upacara perarakan pedati sempena sambutan Thaipusam di negeri ini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pelanggaran SOP itu dikenal pasti dilakukan di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh dekat sini, apabila individu berkenaan tidak memakai pelitup muka dan membawa kanak-kanak semasa upacara perarakan tersebut.

“Walaupun proses perarakan semalam berjalan lancar namun, masih ada individu yang berdegil melanggar SOP yang telah ditetapkan kerajaan dan individu yang dikenakan tindakan itu sebenarnya tidak terlibat pun dalam upacara sembahyang atau perarakan pedati.

“Kita juga menerima maklumat semalam ada pihak tertentu yang cuba untuk melakukan upacara mengangkat ‘kavadi’ yang tidak dibenarkan sama sekali semasa sambutan Thaipusam. Saya telah memberi arahan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh (ACP Yahaya Hassan) supaya ambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang masih berdegil untuk melakukan upacara berkenaan,“ katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata seramai 250 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam bermula semalam dan jumlah tersebut akan ditambah menjelang kemuncak perayaan tahunan itu, esok.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan sebuah kedai memproses kacang putih, DNS Kacang Putih di Buntong di sini yang musnah dalam kebakaran pada awal pagi semalam, didakwa berpunca daripada perbuatan khianat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu laporan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Sekiranya ada unsur perbuatan khianat, siasatan akan dilakukan polis tetapi jika kebakaran itu disebabkan litar pintas, kita serahkan kepada bomba dan polis tidak akan masuk campur,“ katanya.

Dalam kejadian pada pukul 1.08 pagi semalam, kedai yang menjual pelbagai bahan kudapan itu musnah dalam kebakaran dan turut melibatkan kemusnahan sebuah rumah dua tingkat, van dan motosikal namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image