Haiwan ternakan import untuk korban bebas FMD

BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan memberi jaminan bahawa haiwan ternakan yang diimport untuk dijadikan ibadah korban menjelang Hari Raya Aidiladha, bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata ini kerana kesemua haiwan terbabit seperti lembu, kerbau dan kambing telah melalui proses kuarantin sebelum disahkan bebas FMD untuk dijual atau diedarkan dalam negara ini.

Beliau berkata kerajaan tidak berkompromi dalam urusan pengimportan haiwan ternakan mahupun hasil pertanian ke negara ini bagi mengelak sebarang penularan penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan ekonomi.

“Kesemua lembu yang melalui proses import bebas daripada sebarang wabak penyakit, contohnya lembu daripada Thailand akan dikuarantin 14 hari, lepas masuk Malaysia kena kuarantin 14 hari lagi. Ini bagi memastikan tiada wabak FMD.

“Jika ada yang dikesan, haiwan itu akan dirawat sehingga betul-betul bebas daripada FMD oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya selepas mengadakan lawatan ke pejabat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Sementara itu, Sim berkata MAQIS telah merampas sebanyak 3.9 metrik tan produk dan daging babi sejak Januari hingga Julai lalu di seluruh negara.

Katanya rampasan itu membabitkan dua metrik tan daging babi dan 1.9 metrik tan produk hasilan babi yang cuba diseludup melalui pintu masuk sempadan negara.

“Bagaimanapun selepas sampel diambil dan telah melalui ujian makmal mendapati semua produk itu bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF),” katanya.

Sim berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan larangan pengimportan sementara ke atas babi dan produk berasaskan haiwan itu dari negara yang berjangkit seperti China, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium sejak 12 Nov tahun lalu bagi mengekang penularan ASF. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image