SEARCH

Hujan lebat, angin kencang punca pokok tumbang sekitar Manjung

05 May 2021 / 12:02 H.

IPOH: Hujan lebat dan angin kencang yang melanda sekitar daerah Manjung menyebabkan banyak insiden pokok tumbang merintangi laluan di beberapa jalan serta rumah di sekitar kawasan Pantai Remis, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis Mohd Akmal Hussin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke beberapa lokasi kejadian dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai Remis dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Beliau berkata antara laluan terjejas dengan insiden pokok tumbang itu ialah Jalan Gunung Tunggal, Lubuk Pusing, Tebuk Yan, Taman Pelangi, Kampung Indah, Batu 14 Segari, Jalan Masjid Sungai Batu, Jalan Haji Ali, Kampung Tanjung Ara Dalam serta Taman Desa Pantai.

“Kejadian pokok tumbang itu turut menjejaskan beberapa buah rumah antaranya di Perumahan Awam Kampung Indah, Tanjung Ara Dalam, Jalan Pasar Malam Sungai Batu dan Kampung Bumi Hijau,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata operasi pemotongan dan kerja-kerja pengalihan pokok telah dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 4.32 pagi.

“Pihak bomba menggunakan mesin gergaji serta jentera berat daripada pihak MPM untuk mengalihkan kesemua pokok tumbang yang menghalang laluan ke tempat lebih selamat,“ katanya.

Menurut beliau, tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan. -Bernama

email blast