ALOR GAJAH: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan tapisan kontraktor yang mahu terlibat dengan pembinaan fasiliti kesihatan bagi mengelak projek ‘sakit’, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (gambar).

Beliau berkata ketika ini terdapat 166 projek yang berkaitan dengan pembinaan fasiliti kesihatan, namun 24 daripadanya mengalami kelewatan berikutan majoriti kontraktor tiada pengalaman dalam pembinaan kemudahan berkenaan.

“Daripada 24 kontraktor yang melaksanakan projek ‘sakit’ itu, 22 daripadanya dikesan tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan sedemikian, justeru langkah diambil JKR adalah membuat tapisan kontraktor selepas ini.

“Kontraktor yang akan terlibat dalam pembinaan fasiliti kesihatan mesti mempunyai pengalaman dalam pembinaan kemudahan itu selepas ini,” katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan selama lima hari bermula hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di Simpang Ampat di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata justeru pihaknya melaksanakan kursus kompetensi berkenaan agar kontraktor yang mahu terlibat dengan pembinaan fasiliti kesihatan mendapat pengetahuan sewajarnya sebelum terlibat dalam pembidaan tender projek berkaitan.

Beliau berkata kursus berkenaan akan mengenal pasti kontraktor yang benar-benar layak untuk mengendalikan projek pembinaan fasiliti kesihatan bagi mengelak kerugian kepada kerajaan, pelanggan dan kontraktor itu sendiri.

“Bukan kita nak asing-asingkan kontraktor-kontraktor berkenaan tetapi pengalaman kita, kita alami masalah sedemikin rupa (kelewatan projek).

“Kursus ini dibuat supaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab bila ditawar projek, mereka boleh membuatnya dengan lancar dan tidak didenda,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image