JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memasang perangkap sampah di 12 lokasi hotspot sepanjang Sungai Skudai yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran di sungai itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu merupakan antara usaha memelihara sungai berkenaan sekali gus mengeluarkannya daripada tersenarai menjadi antara 10 sungai tercemar di Malaysia.

“Kita akan terus melaksanakan program pembersihan sungai termasuk letak perangkap sampah dan penyelenggaraan dibuat setiap hari. Satu tugas besar, tetapi saya percaya jika semua pihak bekerjasama dapatlah dibersihkan sungai kita, bermula dengan Sungai Skudai ini.

“Sungai Skudai ini kita sasar kerja pembersihan hingga bulan September ini... kita dapat bersihkan untuk mengurangkan tahap pencemarannya,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Johor Bersih @ Sungai di Sungai Skudai di sini hari ini.

Lokasi hotspot itu adalah di Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu, Kampung Bakar Batu dan Pusat Informasi Sungai Skudai.

Turut dikenal pasti ialah di sekitar Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Melana Indah (Sungai Melana), Taman Damai Jaya (Sungai Melana), Kampung Laut, Kampung Pertanian dan Kampung Separa, serta Kampung Melayu Sengkang.

Beliau berkata selain Sungai Skudai, dua sungai di Johor iaitu Sungai Tebrau dan Sungai Kim Kim juga direkodkan tersenarai dalam 10 sungai tercemar di negara ini.

“Kerja pembersihan bagi dua sungai tercemar itu, kita akan tengok perkembangannya di Sungai Skudai, kita belajar dahulu apa yang berlaku di sini dan selepas itu kita akan buat di sungai-sungai lain. Saya percaya dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan kita boleh keluar daripada senarai itu,“ katanya.

Februari lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar dilapor berkata kira-kira 160 tan sampah dikutip setiap bulan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai, walaupun pembersihan dilakukan dengan menggunakan bot Scavenger di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Raven Kumar dipetik berkata ia susulan kedua-dua sungai tersebut sering menjadi sasaran lokasi pembuangan sampah oleh individu tidak bertanggungjawab. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image