JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan jururawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi meringankan tanggungan kerja di hospital itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia susulan perbincangan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai perkara itu dan pertambahan berkenaan sekali gus dapat menampung bilangan pesakit sementara menunggu Hospital Pasir Gudang siap dibina.

“Ada perkara-perkara yang perlu mendapat perhatian segera pihak kerajaan dan saya telah berbincang dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenainya.

“YB Khairy Jamaluddin akan pertimbangkan menambah bilangan jururawat di HSI bagi meringankan tanggungan kerja. Ini sementara menunggu bilangan pesakit reda apabila hospital baharu di Pasir Gudang siap dibuka pada lewat 2024,” kata Onn Hafiz dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau yang melawat HSI secara mengejut hari ini berkata bagi memudahkan urusan pesakit dan pelawat di hospital tersebut, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM500,000 bagi membina tempat letak kereta di dalam kawasan hospital.

Katanya sebanyak RM95,000 turut diluluskan bagi menggantikan bumbung polikarbonat di hadapan lobi hospital itu yang tercabut akibat ribut pada Ahad lepas.

Selain itu, menurut beliau pesakit dan pelawat bakal mempunyai tempat duduk yang lebih selesa dengan penambahan kerusi berangkai berjumlah RM75,000.

Jumaat lepas, Khairy dilaporkan berkata Hospital Pasir Gudang, yang kini dalam pembinaan, telah pun siap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2024. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image