JEMPOL: Seorang kerani di sebuah syarikat swasta kerugian RM132,000 selepas terpedaya mendapat pulangan keuntungan mengikut kadar dijanjikan dalam pertandingan teka bola sepak secara dalam talian, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang itu wanita berumur 53 tahun telah terpengaruh menyertai pertandingan berkenaan menerusi aplikasi yang diperkenalkan oleh rakannya semasa berada di rumah di Jalan Tampin, Bahau, di sini.

Tertarik dengan tawaran keuntungan dua peratus mengikut modal yang dimasukkan bagi setiap teka perlawanan bola sepak itu, wanita itu membuka lima akaun berasingan menerusi aplikasi tersebut untuk menyertai pertandingan itu.

“Wanita itu membuat bayaran sebanyak enam kali transaksi pada hari sama ke sebuah akaun bank tempatan melibatkan jumlah RM132,000,“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata semalam, wanita itu cuba untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan aplikasi tersebut namun akaun tersebut tidak dapat berfungsi selain mendapati baki modal pada akaunnya telah tiada.

Katanya mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai orang dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image