SEARCH

Keupayaan membuat keputusan sendiri cerminan jati diri anak Sarawak - Abang Johari

22 Jul 2021 / 08:30 H.

KUCHING: Keupayaan membuat keputusan sendiri untuk kepentingan Sarawak seharusnya mencerminkan jati diri anak Sarawak dalam menentukan masa hadapan mereka agar mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri atau negara yang sudah berada di hadapan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (pix) berkata walaupun kerajaan Sarawak menghormati keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan Persekutuan, tidak semua keputusan yang dibuat itu bersesuaian atau praktikal untuk dilaksanakan di Sarawak.

“Sarawak adalah sebuah wilayah yang hampir sama besarnya dengan tanah Semenanjung dan kadangkala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa kita melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat Persekutuan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak yang akan disambut hari ini.

Menurutnya, kerajaan Sarawak menghargai kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Malaysia untuk membuat keputusan yang disesuaikan dengan keadaan di Sarawak agar ia lebih praktikal dan berkesan, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 sekarang.

“Ruang yang membolehkan kita membuat keputusan sesuai dengan keperluan Sarawak juga telah membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia telah dapat menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja dan juga pasukan bergerak untuk mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin.

“Alhamdulliah, dengan semua langkah ini Sarawak adalah antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa sebanyak 2.2 juta telah menerima dos pertama,” katanya sambil menambah, langkah-langkah yang dibuat telah berjaya menurunkan kes jangkitan harian kebelakangan ini.

Beliau turut merakamkan penghargaannya kepada pihak yang tampil membantu mereka yang tidak mampu mendapatkan bekalan makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tercicir daripada program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kerajaan Sarawak dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kerajaan Persekutuan.

“Bagi pihak kerajaan Sarawak, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu tanpa mengharapkan balasan, termasuklah gerakan seperti Bendera Putih. Saya juga amat terharu dengan komitmen para barisan hadapan kita yang telah bertungkus lumus menyumbangkan bakti menangani pandemik Covid-19 dalam tempoh lebih setahun yang sudah,” katanya.

Menurutnya, sambutan perayaan pada kali ini menjadi lebih bermakna dengan pelancaran pelan pasca- Covid-19 yang bertujuan melakar hala tuju ekonomi Sarawak hingga 2030 dengan mengambil kira impak daripada pandemik itu.

“Saya amat yakin dengan dasar kita yang berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri ini mampu kita bawa ke tahap yang lebih tinggi dan peningkatan kepada pendapatan rakyat dengan produk-produk yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

-Bernama

email blast