SEARCH

Kluster baharu libatkan pekerja pasar raya dikesan di Sarawak

21 Jul 2021 / 09:40 H.

KUCHING: Satu kluster baharu, Kluster Jalan Jambusan 2 di Daerah Bau dekat sini dikesan di Sarawak hari ini setelah 11 orang pekerja di sebuah pasar raya di situ didapati positif Covid-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan petang ini berkata mereka dikesan positif dalam satu saringan melibatkan 99 orang pekerja pasar raya itu, dengan 45 orang masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu Kluster Kalong 2 di Kuching diisytiharkan tamat setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari yang lepas.

Hari ini Sarawak merekodkan sejumlah 351 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 71,952 kes dan dua kes kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah kematian kini 449 orang.

Selain itu, JBPN turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan rumah setinggan di Sungai Plan, Bintulu bermula hari ini sehingga 1 Ogos, di Rumah Bat di Sarikei (hari ini hingga 5 Ogos) dan Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang di Kuching (21 Julai - 3 Ogos).

-Bernama

email blast