KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan menyita pelbagai barangan berjumlah RM454,000 dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan cat di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pahang Muhamad Radzi Johari berkata serbuan pada kira-kira 11 pagi itu, adalah hasil risikan hampir seminggu dan maklumat orang awam.

Beliau berkata tiga lelaki berusia lingkungan 30-an masing-masing dua warga tempatan yang disyaki pemandu lori dan seorang warga Rohingya, penjaga gudang itu turut ditahan.

“Kita juga merampas tiga buah kepala lori (prime mover), dua tangki berisi 16,000 liter diesel dipercayai bersubsidi, sebuah treler tangki minyak dan tiga set pam digunakan untuk pemindahan minyak dari tangki lori ke tangki simpanan,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhamad Radzi berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai baharu sahaja tiga bulan menjalankan kegiatan tersebut.

“Kami percaya minyak subsidi itu dibeli di beberapa stesen minyak sekitar Kuantan dengan menggunakan prime mover dan dikumpulkan di gudang ini sebelum dibawa ke luar dari Pahang untuk dijual,“ katanya.

Katanya siasatan kini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau memaklumkan KPDN Pahang sudah memeriksa 571 premis di seluruh Pahang bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Pemeriksaan menerusi Op Tiris sejak Mac lalu sehingga hari ini mendapati terdapat enam kes membabitkan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM792,944 dan nilai sitaan bagi minyak diesel ialah RM301,994,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image