KPDN rampas 1,500 barangan tiruan di Parit Buntar

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 1,500 unit barangan termasuk kasut dan set pakaian sukan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM83,000 di premis sekitar Jalan Pasar, Parit Buntar semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata rampasan dilakukan menerusi operasi bersepadu membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barang tiruan oleh 20 anggota penguat kuasa pasukan itu kira-kira 12 tengah hari.

“Hasil risikan telah berjaya mengesan empat premis di lokasi yang disyaki dijadikan stor penyimpanan barang tiruan. Serbuan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa KPDN Perak dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.

“Pemeriksaan menemukan keseluruhan unit barangan itu yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di tempat kejadian,“ katanya dalam kenyataan di sini malam semalam.

Beliau berkata verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati semua barangan tersebut disyaki tiruan dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image