ALOR SETAR: Seramai 12,607 pelancong domestik dan luar negara telah berkunjung ke Langkawi sejak pembukaan semula industri pelancongan di pulau peranginan itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai 16 Sept hingga Rabu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata jumlah itu melibatkan 11,853 pelancong domestik dan 754 pelancong luar negara.

“Pelancong yang datang ke Langkawi menggunakan perkhidmatan kapal terbang adalah sebanyak 8,587 orang manakala yang menggunakan perkhidmatan feri adalah sebanyak 4,020,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Terminal Feri Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong akan berkunjung ke Langkawi sepanjang bulan ini, namun sasaran itu dilihat sukar dicapai ekoran prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikenakan kepada pelancong.

Bagaimanapun, Mohd Firdaus menegaskan bahawa ujian pengesanan awal Covid-19 yang diwajibkan ke atas pelancong itu adalah penting bagi mengawal penularan wabak itu dalam kalangan mereka yang mengunjungi Langkawi.

“Mungkin sekarang jumlah pelancong merosot sedikit tetapi bulan November dan Disember nanti, kita jangka jumlah pelancong akan meningkat kerana pada masa itu cuti sekolah telah bermula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin yang turut hadir pada lawatan berkenaan berkata jumlah perjalanan feri ke Langkawi di terminal itu akan ditambah sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada pelancong.

“Buat masa ini hanya ada dua perjalanan feri sehari iaitu satu perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi dan satu perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah. Kalau jumlah pelancong ramai nanti kita akan minta kepada Kementerian Pengangkutan untuk penambahan perjalanan feri,” katanya.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image