PUTRAJAYA: Program Wanita Bangkit Berniaga (WBB), yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama RichWorks International Sdn Bhd, berjaya menarik hampir 40,000 penyertaan berbanding sasaran asal 2,000 peserta.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (pix) berkata di bawah program itu, peserta bukan sahaja diajar teknik berniaga, tetapi juga melalui ilmu-ilmu yang dikongsi oleh usahawan-usahawan yang berjaya, ia boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata peserta program WBB bukan hanya meneroka peluang pendapatan melalui perniagaan, malah mereka juga mampu menjadi kelompok yang menghulurkan bantuan kepada wanita lain yang berdepan cabaran dan tekanan hidup.

“Bila saya memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya turun padang, saya lihat ramai wanita yang terjejas, (malahan) ada yang hilang semangat untuk teruskan kehidupan.

“Ramai wanita yang sertai WBB ini, kita bukan nak mereka sekadar berniaga, tetapi mereka sesama wanita beri sokongan kepada satu sama lain, dan jangan rasa berseorangan,” katanya dalam perkongsian di Program WBB secara dalam talian hari ini.

Rina berkata idea untuk mewujudkan program WBB ini lahir dari pengalamannya melihat kepayahan ibunya yang gigih berniaga meneruskan kehidupan membesarkan enam orang anak selepas berpisah dengan ayahnya.

Beliau berkata ibunya, Taiyibah Rusli, ketika itu mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang masak di kedai menjual sate ayam.

“Saya bersyukur kerana ibu saya ada semangat kental dan kuat. Kalau ketika itu beliau berputus asa, saya tak rasa saya akan berada di sini hari ini. Wanita bangkit ini saya pelajari dari ibu saya,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata program Wanita Bangkit Berniaga adalah sebahagian daripada program Wanita Bangkit yang memberi tumpuan bukan saja kepada perniagaan malah ia juga membabitkan wanita yang mahu mendapat peluang pekerjaan dan bangkit dari segi emosi.

Beliau berkata inisiatif Wanita Bangkit Berniaga itu digerakkan bagi membantu khususnya wanita yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 bagi menjana pendapatan dengan berniaga.

“Perkongsian daripada lebih 30 usahawan jutawan dalam program ini pasti memberikan inspirasi kepada para peserta kerana sebelum berjaya mereka juga merupakan suri rumah yang berdepan masalah hutang, kewangan yang terhad, ibu tunggal dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks Radz Mohd berkata pihaknya sangat berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan kolaborasi kementerian untuk memperkasakan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image