KUALA NERUS: Seramai 517 penggiat industri pelancongan di Pulau Redang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 hari ini sebagai persediaan menghidupkan semula aktiviti pelancongan di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Fadli Yusof Zakaria berkata jumlah itu termasuk 167 pekerja warga asing yang bekerja di 15 hotel dan resort di pulau tersebut, yang menerima suntikan melalui program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Pulau Redang.

“Penggiat industri yang menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer hari ini terdiri daripada pengusaha dan pekerja hotel serta pemandu bot.

“Suntikan vaksin ini sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong untuk datang ke pulau ini apabila pintu sempadan daerah dan negeri dibuka nanti,” katanya kepada pemberita pada PPV Outreach Pulau Redang di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang kelmarin.

Selain penggiat industri pelancongan, seramai 753 penduduk pulau peranginan itu telah menerima suntikan vaksin semalam pada program yang diadakan di lokasi sama.

Dalam pada itu, Fadli Yusof berkata dengan usaha memastikan penduduk dan penggiat pelancongan di pulau itu menerima suntikan vaksin diharap keadaan Pulau Redang yang kini suram akibat ketiadaan pengunjung berikutan pandemik Covid-19, akan segera pulih seperti sedia kala.

Sementara itu, warganegara Brazil, Watson Gomes Da Silva, 62, berasa kagum dengan perjalanan proses vaksinasi di PPV tersebut yang disifatkan mudah dan lancar.

“Ia proses yang sangat lancar dan saya hanya mengambil masa 20 minit dari mula mengisi borang hingga menerima suntikan,” kata kapten kapal mewah yang kini berlabuh di Pulau Redang itu kepada Bernama.

Da Silva yang telah berada di Terengganu sejak dua bulan lepas, menerima vaksin Covid-19 hari ini bersama 12 kru kapalnya.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image