KUALA LUMPUR, 8 Mac: Kenyataan media ini bertujuan untuk menjelaskan bahawa tindakan aktiviti audit atau siasatan oleh pihak LHDNM ke atas mana-mana individu termasuk ahli politik adalah bertujuan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang percukaian yang berkuatkuasa.

Sebagai sebuah agensi utama pemungut hasil negara, LHDNM kekal komited menjalankan amanah yang diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih (without fear or favour). LHDNM sentiasa adil, saksama dan berintegriti kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan peruntukan undang-undang percukaian negara secara teratur dan profesional.

Sehubungan itu, LHDNM ingin menekankan bahawa setiap aktiviti penguatkuasaan termasuk aktiviti pungutan dan guaman sivil dilakukan berlandaskan akta-akta percukaian yang berkuatkuasa, serta berpandukan Rangka Kerja Audit Cukai (RKAC) dan Rangka Kerja Siasatan Cukai (RKSC) yang boleh diakses menerusi portal rasmi LHDNM.

Sebagai makluman, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDNM adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata. LHDNM tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu di dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes.

Pada masa yang sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDNM kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan.

Sekiranya orang awam, syarikat mahupun pertubuhan tidak berpuas hati dengan taksiran yang dibangkitkan, atau merasakan terdapat kesilapan pada cukai yang dikenakan, rayuan boleh dibuat kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dengan mengemukakan Borang Q yang boleh dimuat turun dan dicetak di portal rasmi LHDNM.

Borang Q yang lengkap berserta dengan alasan hendaklah dikemukakan ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu.

Sebelum Borang Q dikemukakan kepada PKCP, pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDNM melalui platform Prosiding Resolusi Pertikaian untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah.

Sekiranya persetujuan luar mahkamah tidak dapat dicapai, Borang Q tersebut akan dikemukakan dan diputuskan oleh PKCP.

Cukai merupakan hasil utama negara ini dan semua pihak wajar menunaikan tanggungjawab masing-masing ke arah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Kesejahteraan dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab kita bersama.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDNM melalui: a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); b) HASiL Live Chat; danc) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantashttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image