SEARCH

MAHB, Skyports, Volocopter jalin kerjasama kaji pelaksanaan vertiport di Malaysia

22 Jul 2021 / 10:00 H.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak dengan Skyports dan Volocopter untuk menjalankan kajian daya maju pelaksanaan infrastruktur vertiport (lapangan terbang berlepas dan mendarat secara menegak) di Malaysia.

Skyports merupakan pereka dan pengendali utama dunia infrastruktur vertiport bagi teksi udara elektrik manakala Volocopter adalah perintis kepada mobiliti udara bandar (UAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama yang baru dibentuk itu akan mengkaji pelaksanaan perkhidmatan teksi udara elektrik revolusi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport, Subang (LTSAAS) serta loksi lain di seluruh negara.

Ini akan meletakkan negara dalam kalangan peneraju di rantau ini dari segi kesediaan untuk melaksanakan UAM, katanya.

“Teknologi teksi udara dan revolusi adalah satu trend masa depan seterusnya yang kita mahu lihat berlaku dalam industri penerbangan Malaysia.

“Dengan LTSAAS menawarkan ekosistem sinergi dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa, sudah sampai masanya bagi kita untuk meneroka perkhidmatan baharu ini kerana ia melengkapkan pembangunan utama lain inisiatif penjanaan semula industri,” katanya.

Mengikut MoU itu, pihak-pihak akan menggabungkan kepakaran penerbangan dan aeroangkasa mereka yang berbeza untuk menjalankan kajian daya maju, menilai penyelesaian vertiport yang sesuai bagi membolehkan pelepasan dan pendaratan kenderaan pelepasan dan pendaratan vertikal elektrik penumpang (eVTOL) yang selamat.

Kajian itu akan mengambil kira faktor-faktor seperti permintaan, aliran pelanggan dan bagaimana untuk menyepadukan operasi UAM.

Mohd Shukrie berkata MAHB berharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan LTSAAS di Asia Pasifik dengan memenuhi segmen penyelidikan, pemasangan, pembuatan, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, selain operasi teksi udara.

Ia bertujuan untuk menyediakan keupayaan dan penyelesaian menyeluruh dan bernilai tinggi yang diterajui oleh pengendali utama, katanya.

-Bernama

email blast