KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik Covid-19.

Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini. (pix)

Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

“Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak Covid-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu.

Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM.

Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

“Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan Covid-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. -Bernama