GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai terjatuh dari tebing batu bukit berhampiran Taman Jesselton di sini pada awal pagi Sabtu, yang di percayai salah seorang suspek terlibat kes samun dan pecah rumah di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu, ditemukan berada dalam keadaan tertiarap oleh sepasukan polis yang menjalankan operasi di kawasan tersebut pada 4.40 pagi.

“Sebelum penemuan mayat itu, sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Pasukan Gerakan Am dari Batalion 1 dan 18, telah menjalankan tugas Op Rantau Dawai di kawasan Taman Jesselton tersebut, pada 12.30 tengah malam Sabtu.

“Semasa melakukan rondaan di dalam hutan berhampiran, pasukan polis telah terserempak dengan tiga orang lelaki iaitu suspek dalam operasi tersebut, kerana kesemua mereka berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khaw berkata pihak polis telah meminta tiga lelaki itu berhenti untuk diperiksa, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak ketahui kerana keadaan di dalam hutan tersebut gelap.

Beliau berkata pasukan polis telah menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan tersebut, sebelum menemukan mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak, di lereng bukit dalam hutan berkenaan.

Katanya lelaki itu dipercayai terjatuh dari lereng bukit tersebut ketika cuba meloloskan diri bersama dua lagi rakannya, bagi mengelak ditahan pihak polis.

“Polis menemukan sebuah beg galas di sebelah mayat, yang mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau selain beberapa barangan seperti alat pemotong, pemutar skru, pisau pemotong daging dan sarung tangan. Peralatan itu disyaki digunakan tujuan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan suspek bersama dua lagi rakannya yang meloloskan diri itu, terbabit dengan jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kediaman elit di Taman Jesselton.

Khaw berkata hasil bedah siasat mendapati, kematian lelaki itu berpunca daripada kecederaan kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Beliau berkata polis telah mengambil cap jari dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengetahui identiti lelaki itu.

Difahamkan, lelaki yang maut itu disyaki salah seorang daripada ahli Geng Rantau Dawai yang aktif dalam kegiatan jenayah samun dan pecah masuk kediaman elit di sekitar GeorgeTown. -Bernama