KUALA NERUS: Individu di Pantai Timur yang berdepan isu kesihatan mental kini boleh mendapatkan perkhidmatan sokongan di rumah kelab Persatuan Kesedaran dan Sokongan Mental (MIASA) cawangan Terengganu, yang mula beroperasi pada 18 Mei.

Pengasas MIASA Anita Abu Bakar (gambar) berkata Terengganu merupakan cawangan pertama MIASA di luar Lembah Klang sejak penubuhannya pada 2016, bagi menyediakan perkhidmatan sokongan komprehensif serta holistik kepada mereka yang bergelut dengan isu kesihatan mental di Pantai Timur.

“Di Pantai Timur kami dapati data berkaitan perkhidmatan sokongan untuk individu yang berdepan masalah atau isu kesihatan mental sangat kurang. Justeru MIASA berusaha sedaya upaya menubuhkan cawangan pertama untuk masyarakat Pantai Timur secara percuma,” katanya kepada Bernama.

Anita berkata penubuhan MIASA cawangan Terengganu lebih istimewa, kerana ia beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dan orang ramai boleh mendapatkan bantuan daripada dua kakitangan dan 30 sukarelawan MIASA yang sedia berkhidmat, pada bila-bila masa.

Selain itu beliau berkata MIASA juga menyediakan tempat perlindungan sementara bagi mereka yang berdepan masalah dan tiada tempat untuk dituju.

Anita berkata individu yang bermasalah boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi pasukan krisis MIASA di talian 1-800-66-150.

“Kami ada 150 pasukan krisis dan 1,600 sukarelawan yang bergerak di seluruh negara. Jangan malu untuk tampil mendapatkan bantuan, kerana masalah kesihatan mental ialah isu yang perlu ditangani segera,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image