SEARCH

Myvi dilancarkan di Mauritius

06 Aug 2019 / 21:00 H.

PERODUA telah melancarkan Myvi generasi ketiga di Mauritius pada hari Selasa.

Model tersebut ditawarkan dalam varian 1.3G AT dan 1.5H AT, dengan harga* 699,000 (RM81,300) dan 775,000 (RM90,140) Rupee Mauritius.

Pengedar Perodua di Mauritius, Raouf Dusmohamud & Co Ltd, telah mempamerkan Myvi di “Defi Media Motor Show” yang berlangsung di Port Louis (ibu negara Mauritius) pada hujung minggu yang lalu.

“Perodua Myvi generasi ketiga ini telah diterima baik di Malaysia dan kami percaya rakyat Mauritius akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model ini,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

“Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada tahun 2019 – peningkatan sebanyak 50% berbanding 2,184 unit tahun lepas. Setakat tahun ini, kami telah menjual lebih 1,600 unit di luar Malaysia dan melancarkan Myvi dan Axia masing-masing di Singapura dan Seychelles,” katanya.

“Penampilan sulung Myvi di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir-tahun kami dan secara tidak langsung meningkatkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa, memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular.”

Myvi dilancarkan di Mauritius

“Dilengkapi dengan lampu LED, sistem masukan dan penghidup enjin tanpa kunci, Bluetooth, empat atau enam beg udara, serta kawalan kestabilan yang terdapat pada kedua-dua varian, Myvi baharu merupakan kenderaan canggih yang dinanti-nantikan oleh rakyat Mauritius,” kata Raouf Dusmohamud, pengarah urusan Raouf Dusmohamud & Co Ltd.

“Kami menawarkan servis percuma sehingga 30,000 kilometer bagi Myvi, dan kini kami juga memanjangkan tawaran yang sama kepada setiap pembelian model-model Perodua kami yang lain, iaitu Alza, Axia dan Bezza.”

Mauritius adalah pasaran eksport ketiga bagi Myvi generasi ketiga selepas Indonesia (di mana ia dijual sebagai Daihatsu Sirion) dan Singapura.

Negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu merupakan antara pasaran luar negara Perodua yang paling lama.

Hampir 2,400 kenderaan Perodua telah dijual di sana sejak 1996, termasuk Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva dan kini Alza, Axia dan Bezza.

**On-the-road, termasuk insurans. Berdasarkan tukaran matawang Rupee Mauritius kepada Ringgit Malaysia ketika siaran media ini dikeluarkan.

$!Dari kiri: Pembantu pengurus perancangan dan kemajuan eksport Perodua Sales Sdn Bhd Tengku Izuddin Tengku Najmuddin, pengarah eksekutif Raouf Dusmohamud & Co Ltd Ally Dusmohamud, Ziyaad Dusmohamud and Raid Dusmohamud, dan Raouf Dusmohamud.
Dari kiri: Pembantu pengurus perancangan dan kemajuan eksport Perodua Sales Sdn Bhd Tengku Izuddin Tengku Najmuddin, pengarah eksekutif Raouf Dusmohamud & Co Ltd Ally Dusmohamud, Ziyaad Dusmohamud and Raid Dusmohamud, dan Raouf Dusmohamud.

Clickable Image

email blast