SEARCH

Negara digital melangkaui kesalinghubungan - TM

09 Apr 2021 / 07:15 H.

KUALA LUMPUR: Selari dengan Pelan Tindakan Digital Negara (Jendela) yang kini berada pada landasan tepat untuk mencapai objektifnya, Malaysia perlu untuk mula melihat lebih daripada kesalinghubungan, bagi memperkasakan sebuah negara dan ekonomi digital yang lebih baik.

Ketua Pegawai Strategi Telekom Malaysia Bhd Tengku Muneer Tengku Muzani berkata, sebuah negara digital bukanlah hanya mengenai kesalinghubungan sahaja, tetapi ia juga menyediakan mata pencarian, perkhidmatan dan memenuhi keperluan rakyat biasa.

“Lebih daripada kesalinghubungan adalah apa yang sebenarnya kita perlu untuk lihat, kerana kesalinghubungan sahaja tidak mencukupi. Jendela telahpun menangani soal kesalinghubungan, tetapi apa selepas itu?. Inilah yang amat penting.

“Ia perlu sesuatu yang datang selepas itu, satunya isi kandungan, bagaimana dengan perkhidmatan inovasi?, kesalinghubungan adalah objektif agenda tersebut, namun terdapat agenda lain dalam membina sebuah negara ekonomi digital dan negara digital,” katanya kepada Bernama selepas rancangan Bernama TV ‘The Nation’ yang bertajuk ‘Komitmen bagi menjadikan Malaysia Digital’.

Menggunakan contoh Mak Cik Kiah, Tengku Muneer berkata, jika beliau biasanya menjual produknya di tepi jalan, tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau normal baharu, jumlah orang yang lalu di gerainya berkurangan, dan menyebabkan beliau sukar untuk menjual produknya berbanding sebelum ini.

“Oleh sebab itu, platform digital perlu ada... jika tiada platform digital, bagaimana dia mahu menjalankan ekonomi digital...Saya rasa inilah yang difikirkan oleh TM, inilah apa yang perlu kita lihat, dan kami amat serius mengenainya,” katanya.

Sementara itu pada rancangan itu, Tengku Muneer berkata, sebelum kita bergerak kepada kesalinghubungan pada peringkat seterusnya, adalah penting untuk memastikan semua yang berada di pinggir bandar untuk dihubungkan, termasuk 1.5 juta premis berpotensi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan lompongan dalam Jendela.

Beliau turut mengulangi kepentingan untuk mempercepatkan ketersambungan internet di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar, bagi mengurangkan jurang digital, kerana hari demi hari, permintaan dilihat semakin tinggi dan telekomunikasi menjadi satu perkhidmatan yang kritikal.

“Dengan Covid-19 dan lain-lainnya, apa yang terjadi ialah, kesalinghubungan membolehkan kehidupan orang ramai dan ekonomi digital yang telah bermula, dipercepatkan, tetapi dalam memastikan kita adil kepada semua, ia juga perlu sampai ke kawasan luar pinggiran, itulah cabaran yang terbesar,” katanya.

Tengku Muneer berkata, kesemua operator temasuk TM telah berjaya melakukan lebih daripada jangkaan dalam soal pelaksanaannya, di mana mereka kini melebihi dan berada pada landasan dalam memenuhi agenda Jendela.

“Ini yang bagusnya mengenai Jendela, apabila kita melihat kepada kesepaduan bagaimana kami berkerja untuk mencapai objektif, ia bukan hanya mengenai TM atau operator lain, ia adalah kerajaan yang turut bersama-sama dan kesalinghubungan menjadi satu utiliti, dan ini membolehkan kami melaksanakan pembangunan infrastruktur dengan halangan-halangan yang kurang,” katanya.

Ogos tahun lepas, kerajaan memperkenalkan pembentukan Jendela, bagi meningkatkan kesalinghubungan digital dan meletakkan asas untuk teknologi 5G, di mana polisi ini akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2021 ke 2025. -Bernama

email blast