BATU GAJAH: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diminta supaya hadir janji temu bagi mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk terus menyokong usaha kerajaan melindungi rakyat selain mengurangkan kes jangkitan yang masih tinggi.

Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi (pix) berkata golongan berkenaan perlu peka akan notifikasi berkaitan janji temu yang telah ditetapkan sekali gus merebut peluang yang diberikan kerajaan dalam meningkatkan imunisasi kesihatan mereka.

“Ibu bapa dan penjaga seharusnya jangan malu mendaftar anak OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menikmati pelbagai kemudahan termasuk membantu mereka mendapatkan vaksin dan dos penggalak ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Santai Berkayak OKU Perak yang dirasmikan Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Negeri Perak (BAIDURI) Datin Seri Aezer Zubin di Tasik Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di sini hari ini.

Semalam dilaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM masih rendah, iaitu 587,608 daripada anggaran 4.8 juta populasi orang kelainan upaya (OKU) di negara ini.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata jumlah OKU yang telah mendapatkan dos penggalak belum lagi diperoleh pihaknya namun percaya ramai yang telah mengambilnya ketika ini.

“Tentulah ada ramai OKU telah pun mengambilnya di hospital kerana kita diberikan keutamaan. Saya bersyukur kerana kami diberi peluang ini untuk menjadi antara yang pertama menerimanya kerana kita adalah high risk (berisiko tinggi),” katanya.

Menyentuh mengenai program hari ini, Ras Adiba berkata ia antara satu inisiatif untuk merapatkan hubungan di dalam komuniti yang turut terkesan dengan pandemik Covid-9 seperti kehilangan pekerjaan, mengatasi tekanan atau kemurungan kerana terpaksa berkurung di rumah sahaja.

Pada program hari ini, kira-kira 50 OKU diberi peluang menaiki kayak di sekitar tasik selain latihan dayungan, cabutan bertuah serta penyampaian sijil penyertaan.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image