SEPANG: Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali meriah apabila ia dipenuhi dengan para penumpang yang mengambil kesempatan untuk melancong ke Pulau Langkawi susulan pembukaan semula pusat pelancongan itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan bermula hari ini.

Tinjauan Bernama di KLIA mendapati seawal 5 pagi, Aras 5 di kawasan itu sudah mula dibanjiri penumpang yang perlu menjalani beberapa prosedur operasi standard (SOP) sebelum diberi kebenaran untuk berlepas.

Penumpang yang ingin ke Pulau Langkawi perlu hadir ke Anjung Tinjau di Aras 5 untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan slip selepas selesai ujian itu dan penumpang diminta untuk menunjukkan slip tersebut di kaunter daftar masuk.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Khairy dilaporkan berkata ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Rata-rata penumpang yang ditemui mengakui langkah mewajibkan ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan berlepas ke Langkawi amat perlu bagi memastikan perjalanan dan percutian yang selamat.

Nur Zetty Adila Mohd Ali, 34, yang melancong bersama suami dan dua anak lelaki berusia tujuh dan 13 tahun berkata SOP yang ditetapkan kerajaan sangat bagus bagi melindungi penumpang daripada risiko dijangkiti wabak berbahaya itu.

“Keseluruhan SOP ini sangat okey, sangat bagus dan kita sebagai penumpang pun rasa selamat,“ katanya sambil menambah beliau akan sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk menjaga SOP termasuk sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Bagi Bryan Thun, polisi mewajibkan penumpang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 adalah langkah yang amat perlu dilaksanakan ketika negara masih berperang dengan wabak ini.

“Saya fikir langkah diuji merupakan idea yang baik sekurang-kurangnya anda tahu anda selamat dan dilindungi semasa berada di pulau itu nanti dan sekurang-kurangnya juga anda mempunyai percutian selamat, jadi ia adalah peraturan yang baik,” katanya yang melancong bersama rakannya.

Bernama difahamkan terdapat lapan penerbangan dari KLIA dan klia2 menuju ke detinasi Pulau Langkawi pada hari ini.

Para penumpang yang ditemui di KLIA masing-masing menunjukkan rasa teruja dapat melancong ke luar negeri setelah lama tidak dapat berbuat demikian ekoran pelaksanaan sekatan perjalanan.

Seorang pekerja swasta, Aliff Aiman Ahmad Othman, 35, berkata sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran untuk melancong ke Pulau Langkawi, beliau segera membeli tiket secara dalam talian.

“Saya mengambil keputusan untuk melancong ke Pulau Langkawi kerana nak beri kejutan kepada dua anak lelaki kami yang berusia lima dan sembilan tahun selepas sekian lama mereka terkurung di dalam rumah,“ katanya.

Seorang lagi penumpang, Norazliza Mohd Ali menyifatkan kebenaran untuk melancong ke Pulau Langkawi merupakan hadiah yang bermakna sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-31 hari ini.

“Sudah lama sangat terkurung, jadi saya ambil kesempatan meraikan hari jadi di sana (Langkawi) bersama kawan dan dalam masa yang sama dapat membantu merancakkan kembali sektor ekonomi dan pelancongan,“ katanya.

Pada 9 Sept, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjangkakan sekitar 400,000 pelancong akan mengunjungi Langkawi dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan bermula pada pembukaan semula pulau peranginan itu di bawah program gelembung pelancongan, hari ini hingga Disember depan.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image