JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng kira-kira 500 liter diesel tanpa lesen, Selasa lepas.

Tertuduh, Low Yong Pang Benjamin, 24, didakwa telah ada dalam kawalannya barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu diesel dianggarkan berjumlah 500 liter dalam sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Kempas Baru, Mukim Tebrau di sini pada 10 pagi, 30 Mei lepas, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Fatimah Zahari membenarkan Low diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhamad Sabiq Mohd Subri, manakala peguam Dahlia Tan mewakili tertuduh. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image