BANDAR PERMAISURI: Kekurangan fizikal tidak melemahkan semangat Muhd Syafiq Meli dari Kampung Telaga Papan dekat sini untuk maju dalam bidang fotografi, malah bertekad untuk membuktikan bahawa dia juga mampu berjaya dalam karier diceburi.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata kekurangan tersebut dijadikan cabaran dan motivasi untuk menghasilkan karya yang terbaik serta berkualiti sama seperti jurugambar lain.

Menurut Muhd Syafiq dia dilahirkan dalam keadaan sempurna, namun kemalangan jalan raya pada 2015 menyebabkan tangan kanannya tidak lagi mampu berfungsi akibat kecederaan saraf yang kritikal.

Pada awalnya dia mahu melupakan sahaja hobi dan cita-citanya, namun sokongan kuat daripada ibu bapa dan keluarga mendorongnya bangkit daripada perasaan berputus asa.

“Mula-mula memang sedih dan kecewa sangat sebab tangan kanan memang tak boleh guna... Semua benda susah nak buat dengan sempurna.

“Tetapi nasihat berterusan daripada keluarga di samping kecintaan terhadap dunia fotografi menaikkan kembali semangat saya dan saya terus berusaha,“ katanya ketika ditemui di Telaga Papan, di sini.

Hasil kecekalan dan usaha gigihnya, bidang fotografi kini menjadi antara sumber rezeki utamanya selain tugas sebagai pencipta kandungan untuk akaun media sosial sebuah restoran di Penarik.

Menurutnya ramai pelanggan pada mulanya bersikap skeptikal terhadap kebolehannya, tetapi selepas melihat hasilnya, masing-masing amat berpuas hati dan tidak lekang dengan kata-kata pujian.

“Ramai yang tak menyangka video atau foto dirakam oleh orang kelainan upaya (OKU) menggunakan sebelah tangan kerana hasilnya setanding jurugambar profesional,“ katanya.

Muhd Syafiq berkata dia masih dalam proses mempelajari lebih dalam ilmu fotografi untuk mengejar cita-citanya menjadi jurugambar profesional suatu hari nanti.

Selain itu dia juga mahu menghasilkan kandungan media sosial yang memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengejar cita-cita. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image