SEARCH

Pendekatan PKPB sesuai untuk Kuala Lumpur

04 May 2021 / 09:00 H.

PUTRAJAYA: Pendekatan yang sesuai untuk Kuala Lumpur ketika ini bagi mendepani pandemik Covid-19 ialah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. (pix)

Beliau berkata dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, beberapa kerajaan negeri memohon agensi itu agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di negeri terbabit susulan peningkatan kes yang tinggi dan kebarangkalian bahawa ia akan terus meningkat.

Annuar, yang merupakan ahli MKN Khas Covid-19, berkata agensi itu mengambil langkah untuk meneliti secara mendalam permohonan tersebut dengan mengambil kira kepentingan menyeimbangkan antara kehidupan dan nyawa rakyat.

“Ia satu situasi yang cukup sukar. Saya sebagai ahli MKN Khas Covid-19 hampir setiap hari bermesyuarat dan mendengar nasihat pakar daripada agensi yang terlibat secara langsung atau kelompok profesional yang mengurus kesihatan sampailah kepada agamawan yang memberi nasihat dari pelbagai sudut bagaimana harus kita tangani Covid-19.

“Jelas tidak ada formula tetap atau cara terbaik yang tertentu untuk mengurus Covid-19 kerana ia sangat unik. Setiap gelombang, setiap fasa kita terpaksa menggunakan kaedah yang berbeza,“ katanya kepada media selepas Program Prihatin Rakyat Ramadan Putrajaya hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 golongan asnaf di Putrajaya menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan menerusi Program Prihatin Ramadan, yang antara lain, bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan untuk turut merasai kemeriahan melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

Program itu adalah kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Perbadanan Putrajaya (PPj), Kumpulan Media Prima dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

KWP, PPj dengan kerjasama Yayasan Restu dan Nasyrul Quran turut menginfakkan sebanyak RM4,000 naskhah al-Quran al-Karim Mushaf Putrajaya. -Bernama

email blast