SEARCH

Perak galak guna plastik biodiversiti atasi pencemaran alam sekitar

05 May 2021 / 07:30 H.

LARUT: Kerajaan Negeri Perak menggalakkan penggunaan plastik biodiversiti yang dipercayai tidak merosakkan alam sekitar seperti plastik biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Mohd Akmal Kamarudin (pix) berkata pihaknya sedang giat melaksanakan kempen ke arah mengurangkan penggunaan plastik yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Kempen ke arah sifar plastik itu sedang dilaksanakan oleh 26 industri di negeri ini,“ katanya pada sidang media selepas majlis Santuni Asnaf anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) sempena Ramadan dan Sambutan Hari Bumi peringkat negeri di Dewan Sungai Bayur, Selama di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama JAS turut mengadakan kempen dari semasa ke semasa bagi menyedarkan rakyat ke arah pemuliharaan alam sekitar dan setakat ini masyarakat didapati semakin prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar dan bumi.

Dalam pada itu, Mohd Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkata seramai 3,000 golongan asnaf, anak yatim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diberikan bantuan baju raya, wang dan barangan keperluan bagi membantu meringankan beban mereka.

Beliau berkata pihaknya memperuntukkan RM65,000 untuk program itu termasuk mengagihkan bantuan bagi program Iftar Ramadan dan Ehya Ramadan di 39 surau dan 11 masjid di DUN Selama untuk melaksanakan aktiviti masing-masing pada bulan Ramadan ini. -Bernama

email blast