KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (gambar) berkata keperluan untuk sentiasa konsisten dalam meningkatkan kerjasama harus ditekankan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 terutamanya ketika berhadapan krisis global.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi kedua Perhimpunan Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) 2023 yang berlangsung di Nairobi, Kenya dari 5 hingga 9 Jun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) malam ini, Nga berkata pada sesi itu beliau telah berkongsi mengenai dasar dan amalan terbaik agenda pembangunan mampan yang dilaksanakan dalam tiga komponen utama iaitu agenda perumahan, pengurusan sisa pepejal dan inisiatif kelestarian yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia.

“Malaysia menegaskan komitmen negara dalam menyediakan perumahan mencukupi, berkualiti dan mampu milik seiring dengan Dasar Perumahan Negara yang menyasarkan penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025.

Sehingga kini Malaysia telah membina kira-kira 250,000 unit dan kadar pemilikan perumahan kebangsaan melebihi 77 peratus,” katanya.

Nga berkata Rangka Kerja Ekonomi Kitaran Dalam Pengurusan Sisa Pepejal akan menjadi panduan dalam pengurusan “Waste to Energy” dengan menggunakan teknologi baharu dan penyelesaian bersepadu, manakala “Waste to Gold” pula akan meningkatkan kadar kitar semula daripada 33 peratus kepada 40 peratus menjelang 2025.

“Malaysia juga melaporkan mengenai status semasa dalam kemampanan alam sekitar melalui Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) yang menyasarkan peningkatan biodiversiti dan liputan hutan daripada 43 peratus kepada 50 peratus dengan menghubungkan semula hutan dan penyediaan 11,773 taman awam dan penanaman 100 juta pokok bagi 2025,” katanya.

Selain itu, Nga turut menyampaikan ucaptama dalam program sampingan bertajuk “The Need for Balance: Affordable Living and Adequate Affordable Housing for All”, dan beliau berkongsi inisiatif perumahan di Malaysia termasuk penyediaan, pemilikan, pembiayaan dan program perumahan yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia khususnya kepada golongan B40 dan M40.

Program berkenaan turut diwakili beberapa panel dari Pakistan, Kenya dan Emiriah Arab Bersatu serta pakar perumahan dari UN Habitat.

Dalam pada itu, Nga juga merasmikan Rumah Malaysia iaitu reruai Malaysia di Perhimpunan UN Habitat 2023 yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan KPKT terutama perumahan dan pengurusan sisa pepejal.

Delegasi Malaysia yang diketuai Nga merupakan antara dua negara yang dipilih untuk bertemu Presiden Kenya Dr William Samoei Ruto pada sesi persidangan kali ini.

“Malaysia akan turut mengadakan sesi bilateral dengan beberapa negara ahli UN Habitat seperti China, Emiriah Arab Bersatu, Columbia, Mesir dan lain-lain,” menurut kenyataan itu. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image