Perodua Tweckbot giatkan usaha keselamatan jalan raya untuk Aidiladha, Merdeka

09 Aug 2019 / 20:49 H.

PERODUA meneruskan lagi inisiatif keselamatan jalanrayanya bersempena sambutan Aidiladha dan Merdeka yang bakal tiba dengan program “Tweckbot”, perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mudah alih percuma yang telah lama dilaksanakannya.

Tweckbot menyediakan khidmat masyarakat menerusi pemeriksaan kenderaan sebagai persediaan untuk pemanduan jauh untuk pulang ke kampung halaman semasa musim-musim perayaan.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata: “Pemeriksaan Tweckbot 50-poin merangkumi enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, stereng kuasa, klac, tayar, suspensi dan elektrik, dan akan memberikan ketenangan minda yang menyeluruh kepada pelanggan kami untuk memulakan perjalanan yang jauh.”

Semalam, Perodua telah menyertai majlis pelancaran program “Kibarkan Jalur Gemilang” anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, di mana pasukan Tweckbot telah memeriksa sejumlah 60 kenderaan.

Tweckbot seterusnya akan berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada 24-25 Ogos, bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Pemilik yang memeriksa kenderaan Perodua mereka dengan Tweckbot akan menerima baucar yang boleh digunakan untuk menebus diskaun 20% bagi pembelian alatganti dan aksesori di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

“Objektif Tweckbot adalah untuk menekankan kepentingan memeriksa kenderaan secara berkala, melakukan servis di pusat servis Perodua yang sah serta hanya menggunakan produk dan alat ganti tulen Perodua, semuanya demi keselamatan,” kata Zainal Abidin.

Perodua, menerusi ruang pamerannya di majlis semalam, telah mendekati masyarakat tempatan menerusi pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk menyampaikan dan menyebarkan mesej keselamatan.

Turut dipamerkan adalah tempat duduk keselamatan kanak-kanak GearUp Isofix serta inisiatif-inisiatif keselamatannya sehingga kini.

“Di musim perayaan Aidiladha ini, Perodua berharap ia dapat berkongsi pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan dengan masyarakat Malaysia,” kata Zainal Abidin.

“Kita juga akan menyambut hari kemerdekaan Malaysia ke-62 tidak lama lagi – harapan kami adalah agar minda kita semua juga boleh bebas supaya kita dapat mengutamakan keselamatan dalam setiap aspek kehidupan kita.

“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua akan terus berusaha untuk menerapkan pemikiran keselamatan di kalangan kakitangan kami, para pelanggan serta masyarakat. Kami percaya keselamatan adalah hak semua.”

Tweckbot telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan sejak pengenalannya pada tahun 2011.

$!Yang Dipertua MDHS Shukri Mohamad Hamin melawat ruang pameran keselamatan Perodua, semasa kempen ‘Kibarkan Jalur Gemilang’, semalam.
Yang Dipertua MDHS Shukri Mohamad Hamin melawat ruang pameran keselamatan Perodua, semasa kempen ‘Kibarkan Jalur Gemilang’, semalam.

email blast