SEARCH

PGA7 rampas ketum bernilai RM21,000 di Tumpat

05 May 2021 / 08:32 H.

KOTA BHARU: Sebuah bengkel kereta yang ditinggalkan di Kampung Bunohan, Tumpat, dekat sini didapati dijadikan sebagai stor simpanan kepada 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM21,000.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota Kompeni B membuat serbuan ke bengkel itu, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Beliau berkata ketika serbuan, didapati terdapat kelibat dua lelaki telah melarikan diri ke dalam semak di belakang bengkel, selepas dapat menghidu kehadiran pasukan PGA7.

“Pemeriksaan yang dijalankan di dalam bengkel yang dijadikan stor itu, menemui longgokan plastik hitam di dalamnya mengandungi plastik lutsinar diikat gelang getah, mengandungi daun-daun hijau yang disyaki daun ketum.

“Selepas membuat pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui sesiapa di situ, kesemua daun ketum itu dirampas dan dibawa balik ke Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhari berkata, kesemua daun ketum yang ditemui disyaki dibawa dari Kedah untuk pasaran di sini.

“Daripada maklumat yang diperolehi, satu ikatan daun ketum sekitar satu kg akan dijual dengan harga RM30.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua daun-daun ketum ini dipercayai untuk pasaran sekitar Tumpat, dan bagi jualan kecil-kecilan terutamanya di sekitar kawasan Kampung Bunohan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. -Bernama

email blast