KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan sesuai berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Perdana Menteri berkata tindakan Muhammad Sanusi itu perlu dihentikan kerana ia jelas melanggar prinsip Perlembagaan yang telah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

“Apakah kerana nak gelojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara? ... dan ini yang menyebabkan timbul permasalahan.

“Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada Umno-BN, PAS-PH, sekarang PAS-PN, tidak pernah dibangkitkan (berhubung Kedah dan Pulau Pinang) melainkan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip Perlembagaan,“ kata Anwar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan ke atas kenyataan Muhammad Sanusi yang menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Jelas Perdana Menteri, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada Kedah jelas termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Ia memperuntukkan bahawa Negeri-negeri Persekutuan adalah terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, dan Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Justeru Anwar berkata isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lebih-lebih lagi Malaysia ketika ini telah mencapai kemerdekaan dan merupakan sebuah negara berdaulat.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan sejarah bahawa Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah sebahagian daripada Kedah sebelum ini, namun ia kemudiannya berubah apabila Inggeris memperoleh Pulau Pinang dan Seberang Perai seperti mana kedudukan Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, kata beliau sejarah Kedah dan Pulau Pinang tidak perlu terus dipolemikkan untuk mengelakkan ia melanggar prinsip perlembagaan.

Terdahulu, sebelum sesi soal jawab bermula, dewan menjadi kecoh seketika apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Beluran (Bersatu-Beluran) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 23 (1) (c) yang mempertikaikan pemilihan soalan nombor satu yang dikemukakan oleh Guan Eng itu.

Bagaimanapun Johari berkata beliau telahpun meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung soalan itu.

Dua lagi wakil rakyat pembangkang iaitu Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) turut bangkit dengan membacakan Peraturan Mesyuarat 23 (1) (b) Peraturan Mesyuarat 36 (6) bagi membantah soalan itu, namun Johari tetap tegas dengan pendirian membenarkan soalan itu dikemukakan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image