MELAKA: Polis Melaka menahan tiga lelaki tempatan dan merampas pelbagai mercun dipercayai tanpa permit dan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM150,000 dalam serbuan dari sebuah banglo di Jalan Bukit Cina di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata dalam dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka pada kira-kira 7 malam itu, kesemua suspek berusia antara 27 dan 29 tahun itu ditahan di banglo berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan bekalan mercun dan minum keras tersebut.

“Siasatan awal mendapati banglo berkenaan disewa untuk dijadikan stor dan aktiviti jualan mercun dan minuman keras terbabit, aktif dilakukan kumpulan suspek berkenaan sejak enam bulan lepas.

“Modus operandi mereka adalah mempromosikan jualan mercun dan minuman keras berkenaan melalui media sosial seperti Facebook dengan menyertakan senarai katalog jenis mercun,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata mercun dan minuman keras terbabit disasarkan jualan dalam pasaran tempatan sempena Tahun Baharu Cina dan bekalan dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan berlesen selain dibeli secara kurier dari China.

Katanya dua daripada suspek berkenaan masing-masing didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu memiliki video lucah dan menggaji pekerja asing secara tidak sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.

“Polis juga sedang mengesan suspek utama aktiviti jualan mercun dan minuman keras berkenaan iaitu Soh Wei Huang, 28, yang beralamat terakhir di No 111, Jalan Puteri Hang Li Poh, 75100, Melaka bagi membantu siasatan lanjut,“ katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata dua penagih dadah ditahan kerana terlibat dalam cubaan mencuri kabel emergency telephone system (ETS) milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Kilometer 174.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, kira-kira 1.47 pagi pada 9 Jan lepas.

Katanya kedua-kedua lelaki berusia 37 dan 42 tahun itu ditahan bersembunyi di belakang bukit kira-kira 500 meter dari tempat kabel ETS yang telah dipotong namun mereka berjaya ditahan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan.

Abdul Majid berkata kegiatan mencuri kabel ETS yang dikesan dilakukan kira-kira 11 kilometer antara kawasan Tangkak di Johor dan Jasin di Melaka menyebabkan PLUS mengalami kerugian kira-kira RM5,000.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu turut mengakibatkan telefon kecemasan yang diletakkan di sepanjang lebuh raya PLUS tidak dapat digunakan sekiranya pengguna berdepan situasi kecemasan atau kemalangan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan terlibat dalam tujuh kes curi kabel ETS milik PLUS dengan enam kes daripadanya dilaporkan di Johor manakala satu kes di Melaka dan kita sedang mengesan pihak yang membeli kabel EST tersebut.

“Salah seorang suspek berkenaan didapati mempunyai 25 rekod jenayah lampau antaranya 10 kes melibatkan dadah dan tiga kes di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,“ katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan polis mengingatkan penjual barangan lusuh berlesen khususnya barangan tembaga agar mengikut prosedur yang ditetapkan dengan merekodkan maklumat individu yang menjual barangan tersebut kepadanya.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image