ALOR SETAR: Polis menumpaskan ‘Geng Mizan’ yang dipercayai terlibat aktif dalam jenayah pecah rumah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak selepas menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita pada 20 dan 26 Mei lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata kesemua suspek berusia 25 hingga 52 tahun ditahan di sekitar negeri ini dalam beberapa operasi yang dijalankan.

Katanya, tangkapan pertama melibatkan empat suspek termasuk wanita berusia 25 hingga 30 tahun susulan kes pecah sebuah premis perniagaan di Bedong dekat Sungai Petani membabitkan kerugian kira-kira RM25,000.

“Pihak polis berjaya mengesan dan menahan mereka serta merampas pelbagai barangan dipercayai hasil daripada pecah kedai berkenaan.

“Polis turut merampas dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, sebuah motokar jenis Proton Perdana bersama beberapa peralatan pecah rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis kemudian menahan tiga lagi suspek lelaki berusia 43 hingga 52 tahun serta merampas sebuah peti besi yang disyaki dilarikan dari Istana Hinggap Taman Tunku Sarina, Jitra pada 26 Mei.

Katanya, dengan penangkapan kesemua suspek itu, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan premis iaitu 13 di Kedah dan masing-masing satu di Pulau Pinang serta Perak.

Wan Hassan berkata semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah pecah rumah dan dadah.

“Polis masih mengesan tiga lagi suspek termasuk seorang lelaki berusia 43 tahun dipercayai ketua kumpulan itu yang masih bebas,” katanya yang turut memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image