KUALA LUMPUR: Kelonggaran syarat pembiayaan perumahan, kadar faedah rendah dan bantuan deposit adalah antara aspek sangat diharapkan rakyat bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri selaras matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah yang diumumkan kerajaan semalam.

Rata-rata ditemui berpendapat dengan harga rumah kini yang disifatkan hanya ‘mampu tengok’, hasrat memiliki sekurang-kurangnya rumah pertama akan tinggal impian lebih-lebih lagi apabila tidak mampu menyediakan deposit tinggi yang dikenakan pihak pemaju.

Bagi Norsharil Md Yusup, 35, yang bekerja sebagai freelancer di Kangar, Perlis, dengan gaji tidak seberapa, ditambah pula komitmen lain serta dalam situasi pandemik Covid-19, dia sedar tidak mudah baginya untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank.

Contohnya dengan harga rumah RM300,000, dia perlu menyediakan deposit sebanyak 10 peratus atau RM30,000, satu jumlah yang amat besar dan sukar untuk golongan B40 sepertinya.

“Saya cadangkan bank permudahkan pemberian pinjaman dan beri pilihan juga agar tempoh pinjaman dipanjangkan lagi, sekurang-kurangnya bayaran bulanan tidaklah terlalu tinggi,” katanya kepada Bernama.

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) semalam bersetuju meletakkan sasaran - Satu Keluarga, Satu Rumah - dalam misi penyediaan rumah mampu milik di negara ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Bank Negara perlu melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40 selaras dengan matlamat itu.

Tahun lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual bagi suku ketiga 2021 dengan nilai RM19.75 bilion, antara puncanya harga rumah tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah.

Sementara itu, penjawat awam Sharul Azmeer Pateno, 32, berharap agar lebih banyak projek Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) dapat dibuka termasuk di Sabah, memandangkan harga rumah oleh pemaju swasta di negeri itu berbanding keluasan rumah yang sangat kecil baginya tidak masuk akal.

Dia turut mencadangkan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) agar menurunkan kadar faedah tetap empat peratus ketika ini bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan itu.

Amanda Chris, 40, yang sudah memiliki rumah pertamanya pula berkata ramai dalam kalangan ahli keluarganya yang ditolak permohonan pembiayaan rumah disebabkan tidak mampu menyediakan deposit.

“Selepas itu, ada banyak lagi syarat yang bank kenakan selain semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS (CTOS Data Systems Sdn Bhd). Kadang-kadang yang tidak pernah buat pinjaman pun, apabila hendak buat pinjaman tidak lepas sebab tidak ada skor kredit,” katanya.

Bagi Siti Noraisah Jidin, 25, graduan yang sedang bekerja sambilan di sebuah pasar raya berkata apa yang diharapkannya ketika ini adalah agar syarat ketat pembiayaan perumahan oleh bank ketika ini dilonggarkan, misalnya dengan memanjangkan tempoh bayaran balik kepada golongan muda.

“Saya berharap bank-bank perbanyakkan lagi pelan pembiayaan penuh tanpa deposit, sebab dalam usia muda seperti kami adalah sukar untuk kumpul duit yang banyak dalam tempoh singkat,” katanya, yang turut menyambut baik inisiatif Satu Keluarga, Satu Rumah oleh kerajaan.

Sebelum ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) juga menyatakan lima faktor utama pembiayaan kediaman tidak diluluskan adalah ketidakmampuan dari segi pendapatan pembeli, margin pembiayaan rendah, sejarah pembayaran pembiayaan terdahulu seperti agensi pelaporan kredit CTOS dan CCRIS serta permintaan dokumen yang banyak daripada pihak bank.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image