JEMPOL: Teknologi projek penanaman Kacip Fatimah, limau kasturi dan serai secara sistem selingan di ladang integrasi terletak di Kampung Serting Ulu berpotensi melonjakkan pasaran herba di negara ini serta menjamin penghasilan produk berkualiti tinggi.

Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Farah Fazwa Md Ariff berkata tanaman herba tersebut menggunakan sistem selingan di ladang seluas satu hektar melibatkan 23,000 pokok Kacip Fatimah, serai (6,600) dan limau kasturi (1,700).

Beliau berkata ladang herba itu turut dilengkapi infrastruktur rumah teduhan dan rumah keratan yang berfungsi untuk membiakkan bahan tanaman herba dan menempatkan anak-anak pokok sebelum dipindahkan ke ladang berkenaan.

“Kami menjalankan kajian terhadap klon elit Kacip Fatimah (Labisia pumila var. alata) hampir 10 tahun. Ia mempunyai ciri-ciri superior mencakupi kadar pertumbuhan herba itu, kandungan kimia fenolik dan jumlah biomass yang tinggi serta mudah beradaptasi di pelbagai persekitaran.

“Bagi klon superior limau kasturi, tumbuhan itu mampu menghasilkan minyak pati dan kandungan kimia linalool yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Farah Fazwa berkata projek tersebut adalah kerjasama dengan 100 peserta Koperasi Rancangan FELCRA Gugusan Bayai Berhad (KPRFGB) untuk merakyatkan hasil penyelidikan dan pembangunan FRIM sebagai usaha membantu menambah pendapatan kumpulan B40.

Peserta tersebut mengikuti bengkel projek berkenaan selama dua hari bermula hari ini turut mempelajari teknologi dalam pembiakan, penjagaan, penyelenggaran serta menguasai teknik penanaman di ladang integrasi tersebut.

Mengenai pendapatan, beliau berkata hasil akan diperoleh seawal enam bulan bagi tanaman serai, Kacip Fatimah dalam masa sembilan bulan dan limau kasturi memberikan pendapatan jangka masa panjang berikutan kitaran hidup tanaman itu boleh bertahan sehingga 10 tahun.

“Pusat Teknologi Herba (HTC) FRIM dan Koperasi FRIM Sdn Bhd (KOFRIM) akan membeli hasil tuaian spesis Kacip Fatimah bagi penghasilan produk manakala minyak pati limau kasturi dan serai pula akan dibeli oleh Syarikat Tropical Bioessence Sdn Bhd,” katanya.

Katanya, FRIM memanfaat keseluruhan bahagian tanaman tersebut seperti daun Kacip Fatimah diambil sekali bagi tempoh sembilan bulan kemudian diproses sebagai ekstrak, daun limau kasturi dan daun serai diproses dijadikan minyak pati serta batang serai dan buah limau dijual kepada pasar tani.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah FRIM Dr Norwati Muhammad berharap peserta memberikan kerjasama dalam menjaga, memantau dan menyelenggara plot integrasi herba itu kerana ia adalah aset hidup bernilai tinggi dan berpotensi besar dijadikan komoditi baharu negara pada masa akan datang.

Menurut kajian FRIM pada tahun 2016 menunjukkan 73 peratus pengguna di Semenanjung menggunakan produk berasaskan herba seperti wangian, makanan kesihatan, kosmetik serta peralatan mandian yang menunjukkan permintaan terhadap produk herba kini semakin meningkat.

Norwati berkata kajian terkini FRIM menunjukkan 87 peratus bekalan bahan mentah Kacip Fatimah diperoleh dari hutan semula jadi dan hanya 17 peratus dari sumber perladangan.

Justeru, aktiviti perladangan mempunyai potensi untuk menghasilkan bekalan bahan mentah yang bernilai komersial sekiranya diteroka dan diuruskan dengan baik.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan geran RM260,000 bagi projek tersebut menerusi Malaysia Social Innovation (MySI) yang diluluskan pada Oktober lepas.

Fasa pelaksanaan bagi projek tersebut berjalan selama setahun (2020-2021) manakala fasa pemantauan bagi tempoh 2021-2023. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image