KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Road To Gold (RTG) sedia mempertimbangkan permintaan pemain badminton profesional yang berada dalam program tersebut untuk pembiayaan bagi menyertai kejohanan antarabangsa sebagai persediaan sebelum ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa RTG akan datang.

Beliau berkata jawatankuasa program terbabit turut bakal menyelaraskan segala permintaan lain yang dikemukakan pemain-pemain berkenaan dalam mesyuarat itu.

“Kita akan selaraskan dalam mesyuarat RTG yang kita atur, saya rasa permintaan Lee Zii Jia (pemain badminton perseorangan lelaki utama negara) sama dengan pemain lain.

“Perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat RTG dan kita juga akan umum apa yang diminta oleh pemain lain,” katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama Zii Jia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata semua pemain yang berada di bawah program RTG bakal menerima layanan sama rata bagi memastikan prestasi mereka dipertingkatkan sebelum ke temasya berprestij itu.

Terdahulu, Hamidin berjumpa Zii Jia bagi membincangkan keperluan selain persediaan beliau untuk berentap dalam kejohanan antarabangsa akan datang.

Zii Jia bakal membuat penampilan seterusnya pada kejohanan Terbuka Singapura, minggu hadapan.

Sebelum ini, Zii Jia ditunjukkan jalan keluar awal pada pusingan kedua pada Masters Malaysia selepas ditewaskan wakil Taiwan Lin Chun-Yi 19-21, 21-26, 15-21. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image