SHAH ALAM: Selangor akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri secara dalam talian iaitu menerusi platform media sosial buat julung kalinya pada 12 Feb ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata sambutan yang bertemakan ‘Tahun Baru, Harapan Baru’ itu akan disiarkan di laman Facebook Menteri Besar Selangor dan media dalam talian pada hari pertama Tahun Baharu Cina bermula 9 malam.

“Sambutan perayaan ini menerusi platform media sosial adalah susulan keadaan semasa pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan penganjuran acara besar dan perhimpunan orang ramai.

“Ia juga dapat memberikan impak positif kepada masyarakat berbilang kaum, terutamanya di Selangor, apabila masyarakat Melayu, India dan lain-lain juga dapat menonton persembahan yang disediakan sepanjang program itu berlangsung,” katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya, hari ini.

Menurut beliau, kaedah penerbitan program istimewa secara maya itu dilihat sebagai alternatif terbaik yang bersesuaian dengan norma baharu untuk masyarakat Cina menikmati suasana perayaan di kediaman masing-masing.

Katanya, sebanyak 12 persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan akan disiarkan untuk program berkenaan yang menelan kos penganjuran RM414,000 antaranya melibatkan kumpulan tarian kebudayaan Cina bertaraf antarabangsa.

Mengulas tema ‘Tahun Baharu, Harapan Baru’, Teng berkata pemilihannya dibuat bagi memberi semangat kepada masyarakat yang telah hampir setahun dilanda pandemik Covid-19.

“Sejak Covid-19 melanda, ramai kehilangan kerja, perniagaan dan kehidupan terjejas, tidak boleh ke sekolah, serta ditangguh peperiksaan. Disebabkan itu, Tahun Baharu Cina ini adalah perayaan penting bagi masyarakat Tiong Hua untuk kita perbaharui azam dan mahu bebas daripada belenggu penyakit,” katanya.

Pada masa sama, Teng turut menasihati masyarakat Cina supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa menyambut perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image