SHAH ALAM: Situasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 kini semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit Covid-19 kategori tiga, demikian menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini.

Menurut hantaran menerusi laman Facebook JKNS, pada awal Januari, PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori tiga tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS menempatkan 757 pesakit kategori tiga dan bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil.

Penambahan katil itu adalah bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras peningkatan bilangan pesakit Covid-19 terkini.

“Oleh yang demikian, pesakit dengan kategori tiga ditempatkan di dewan-dewan yang berdekatan dengan unit rawatan rapi (ICU) sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan, manakala pesakit kategori satu dan dua yang stabil ditempatkan di Dewan DG.

“Bagaimanapun pihak PKRC cuba sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan ini,” kata JKNS.

PKRC MAEPS juga berterima kasih dan menyambut baik saranan seorang pengguna Twitter berhubung proses kemasukan yang mengambil masa yang lama, dan akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image