PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Khas (JKTK) bagi meneliti dan mengemukakan penyelesaian berhubung gangguan bekalan air mentah di Kedah dan Pulau Pinang susulan insiden luar jangka penurunan paras air Sungai Muda.

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak pada 14 Mei lepas telah menjejaskan pengoperasian beberapa loji rawatan air (LRA) di Kedah dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan 678,983 akaun pengguna berhadapan gangguan bekalan air bersih.

Susulan daripada insiden itu, SPAN telah menerima saranan daripada pemegang taruh untuk meneliti secara menyeluruh insiden berkenaan dan justeru, satu JKTK ditubuhkan semalam.

“Tujuan penubuhan JKTK ini adalah untuk mendapatkan maklumat, keterangan dan meneliti semua aspek berhubung insiden tersebut dan seterusnya mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dijadikan sebagai tata amalan terbaik oleh semua pihak yang berkepentingan demi menjamin kelestarian bekalan air,“ katanya.

SPAN berkata JKTK dijangka memuktamadkan laporan akhir berhubung insiden ganguan bekalan air mentah di Kedah dan Pulau Pinang pada pertengahan bulan depan.

Pada 14 Mei lepas, media melaporkan paras air di Sungai Muda menunjukkan penurunan secara mendadak di bawah paras satu meter yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air Sungai Muda, sekali gus menjejaskan pengeluaran di LRA Sungai Dua.

Situasi itu menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Kedah. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image