PHNOM PENH: Kemboja mengalu-alukan penyertaan 2,000 atlet ‘istimewa’ dengan pericikan bunga api dan persembahan kebudayaan pada upacara perasmian yang menakjubkan sempena edisi ke-12 temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo di sini, malam semalam.

Kemboja yang memilih tema ‘Sports: Live In Peace’ unggul mempersembahkan acara bunga api berwarna warni yang memukau kira-kira 70,000 penonton, selain turut menyajikan persembahan menarik iaitu Khmer Heart yang berasal dari negara Asia Tenggara itu sendiri.

Perarakan kontinjen Malaysia, terdiri daripada 34 atlet dan 14 pegawai, ddiketuai oleh Chef-de-Mission (CDM), Noor Syahieda Mat Shah dan atlet boccia (BC1- kecatatan fizikal) Angeline Melissa Lawas yang menggalas tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Malaysia menjadi negara keempat berarak masuk dengan memakai jaket berwarna kuning-hitam dan seluar trek yang mempunyai logo Jalur Gemilang.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, seterusnya mengisytiharkan perasmian APG, menandakan saingan selama seminggu bermula secara rasmi hingga Jumaat ini dengan penyertaan 11 negara.

Perasmian itu hadir selepas bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dinaikkan dan lafaz ikrar oleh wakil atlet serta pegawai pertandingan berlangsung dengen penuh istiadat.

Upacara perasmian itu diikuti dengan atlet bola keranjang berkerusi roda Sinet An menyalakan obor sebelum penonton di stadium menyaksikan pertunjukan bunga api yang menyinari langit Phnom Penh.

Malaysia menyandarkan harapan negara kepada 144 atlet, dengan 62 atlet atau 43 peratus daripadanya kali pertama menyertai temasya edisi ke-12 itu.

Mereka akan menggalas cabaran negara dalam 13 daripada 14 jenis sukan yang dipertandingkan di Kemboja, yang menyaksikan Malaysia akan mengambil bahagian dalam 153 acara ataupun 35.66 peratus daripada 429 acara yang dipertandingkan.

Tiga belas sukan itu ialah olahraga, badminton, boccia, catur, bola sepak cacat penglihatan, bola sepak cerebral palsy, goalball, judo, powerlifting, renang, tenis berkerusi roda dan bola keranjang berkerusi roda, selain satu sukan demo iaitu e-sukan.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini mengumumkan sasaran sebanyak 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa menjadi buruan skuad kontinjen para negara, berbanding 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa yang diraih pada edisi lalu di Solo, Indonesia.

Pengurangan pingat emas itu adalah apabila tiga jaguh negara iaitu Datuk Mohd Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan jaguh badminton para Cheah Liek Hou tidak dihantar ke temasya dwitahunan itu selepas masing-masing memenangi pingat emas Sukan Paralimpik.

Malaysia buat julung kalinya pernah muncul juara keseluruhan APG iaitu ketika menjadi tuan rumah edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2001, yang menyaksikan kontinjen para negara unggul merangkul 143 pingat emas, 136 perak dan 92 gangsa. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image