SEARCH

Tiga juruteknik TNB mengaku tidak bersalah tipu urusan baiki kabel

05 May 2021 / 12:40 H.

IPOH: Tiga juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung urusan membaiki kerosakan kabel berjumlah RM6,000, tahun lalu.

Tertuduh Azhari Abdul Ghani, 46, Faizizee Azami, 31, dan Mohd Noor Hakim Noor Rashid, 38, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mereka didakwa bersama-sama menipu seorang lelaki berusia 43 tahun, dengan memperdayakan individu tersebut untuk mempercayai bahawa bayaran RM6,000 merupakan bayaran bagi pihak kontraktor yang dilantik TNB, untuk membaiki kerosakan kabel di antara SS Felda Besout 4 dan SS Besout By Pass K.Slim pada 14 dan 15 Ogos 2020, sedangkan pihak kontraktor membuat tuntutan kepada pihak TNB.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa membuat bayaran wang tunai RM6,000, yang mana mangsa tidak akan membayar wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan parkir, Jalan Sentral Sungkai 7, Sungkai pada 4 petang, 21 Ogos 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen sama, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Shahidah Muslimah Roslan yang masing-masing mewakili ketiga-tiga tertuduh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka mereka menanggung keluarga dan ibu bapa mereka.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes. -Bernama

email blast